Penang Route 6

Penang Route 6 Shop

klik kan ye

Monday, May 16, 2011

Ketua IMF ditangkap laku serangan seks


DUA anggota polis memasuki lif ke bilik yang didiami Strauss-Kahn di Hotel Sofitel, New York kelmarin.

NEW YORK - Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss- Kahn ditangkap polis kelmarin atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja wanita di sebuah hotel di sini.

Jurucakap polis New York, Paul Browne berkata, Strauss-Khan, 62, yang berketurunan Yahudi ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini selepas dia menaiki sebuah pesawat Air France ke Paris.

Dia yang merupakan Pengarah Urusan IMF ditangkap 10 minit sebelum pesawat itu berlepas setelah melakukan serangan seks ke atas pekerja wanita yang berusia 32 tahun tersebut.

Strauss-Kahn yang beristeri merupakan bakal calon presiden yang akan bertanding bagi mewakili parti Sosialis dalam pilihan raya Presiden Perancis pada April tahun depan.

Dia merupakan calon pilihan yang paling popular untuk menjadi Presiden Perancis.

IMF merupakan agensi yang memberi pinjaman kewangan sehingga berbilion-bilion dolar kepada negara-negara yang memerlukan pinjaman.

Menurut Browne, pekerja wanita itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia memasuki bilik Strauss-Kahn di Hotel Sifotel pada Sabtu lalu.

Pekerja wanita tersebut memberitahu dia diarahkan supaya membersihkan bilik ketua IMF itu yang berharga AS$3,000 (RM9,007) satu malam selepas diberitahu bilik berkenaan sudah kosong.

Wanita itu menyatakan, Strauss-Kahn muncul dalam keadaan bogel di bilik itu selepas dia memasukinya sebelum mengejar dan menjatuhkannya.

Menurutnya, ketua IMF itu menariknya ke bilik mandi dan memaksanya melakukan seks oral selain cuba menanggalkan seluar dalamnya.

Wanita itu kemudian berjaya melarikan diri dari bilik tersebut dan memberitahu pekerja hotel.

Pekerja hotel tersebut kemudian menghubungi polis.

Namun, selepas beberapa detektif tiba, Strauss-Kahn didapati sudah meninggalkan hotel itu tetapi telefon bimbitnya tertinggal.

Menurut Browne, ketua IMF itu didapati tergesa-gesa meninggalkan hotel tersebut.

Polis kemudian mendapat maklumat Strauss-Kahn berada di lapangan terbang.

Pihak polis kemudian menghubungi pegawai-pegawai Pihak Berkuasa Pelabuhan untuk meminta bantuan supaya ketua IMF itu ditangkap di kabin kelas pertama pesawat Air France.

Pekerja wanita yang menjadi mangsa Strauss- Kahn itu dibawa polis ke sebuah hospital dan dirawat kerana mengalami kecederaan kecil.

Menurut peguam ketua IMF itu, William Taylor, Strauss-Kahn tidak akan mengaku bersalah terhadap tuduhan ke atasnya.

Ketua IMF itu dilahirkan dalam keluarga Yahudi yang kaya di pinggir Paris pada 25 April 1949 dan menghabiskan masa kanak-kanaknya di Maghribi.

Dia memperoleh ijazah doktor falsafah ekonomi dari Universiti Paris X.

Strauss-Kahn menjadi ketua IMF dengan kontrak selama lima tahun sejak 2007 dengan gaji AS$420,930 (RM1.2 juta) setahun. - Agensi

Thursday, May 12, 2011

Kereta sport paling mahal kini milik Lamborghini



KERETA Lamborghini Sesto Elemento.


LONDON - Kereta sport termahal di dunia kini bertukar takhta apabila kereta Lamborghini buatan Itali berjaya memintas pendahulu sebelum ini, Bugatti Veyron, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta Lamborghini Sesto Elemento itu dijual dengan perbezaan harga £170 ribu (RM830,389) dengan nilai £1.77 juta (RM8.7 juta).

Ia dibina pada tahun ini di Sant'Agata Bolognese, Itali.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini, Stephan Winkelmann, model itu pertama kali dipamerkan dalam Pertunjukan Kereta Paris Oktober lalu.

Bagaimanapun, kereta Lamborghini Sesto Elemento yang memiliki kelajuan 321 kilometer sejam masih tidak dapat menandingi Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport buatan Jerman dengan kelajuan maksimum 407 kilometer sejam.

Kereta terbaru Lamborghini itu menggunakan enjin 5.2 liter V10 dna beratnya kurang satu tan.

Hanya 20 buah nit kereta itu akan dibina.

Kereta Bugatti Veyron dikeluarkan di Molsheim, Alsace, Perancis. - Agensi

Tuesday, May 10, 2011

Kegilaan untuk memiliki IPad , Empat cedera akibat iPad 2


DUA orang terbaring selepas berlaku satu rusuhan di luar sebuah kedai menjual komputer iPad di Beijing pada Sabtu lalu.

BEIJING - Empat orang cedera apabila berlaku satu rusuhan semasa sejumlah pelanggan berbaris untuk membeli komputer tablet iPad 2 di luar sebuah kedai di sini.

Kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu di kawasan Sanlitun itu bermula apabila seorang kakitangan kedai menjual iPad menumbuk seorang pelanggan yang memotong barisan.

Ekoran kejadian itu beberapa pelanggan lain memecahkan pintu kaca di kedai berkenaan.

Menurut beberapa saksi, botol-botol air dibaling semasa rusuhan itu berlaku.

Empat orang yang cedera itu dirawat di sebuah hospital dan polis mengambil keterangan mereka.

Seorang jurucakap syarikat Apple yang mengeluarkan iPad di China, Carolyn Wu berkata, kedai itu ditutup selama beberapa jam pada Sabtu lalu selepas kekacauan di luar kedai berkenaan tidak dapat dikawal. - Agensi

Buakannya seronok untuk memiiliki Ipad..biasa sahaja....

Saturday, May 7, 2011

Pelajar jual dara RM218,062


LAMAN web Yantra mempamerkan lelongan dara milik pelajar berusia 21 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Noelle.


AMSTERDAM, Belanda - Seorang pelajar berusia 21 tahun dari Belgium yang hanya mahu dikenali sebagai Noelle menjual daranya pada harga 50,000 euro (RM218,062) dalam satu lelongan di internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Selepas dua bulan membuat lelongan, dia menerima tawaran daripada seorang pembeli misteri yang bersetuju untuk membeli dara pada harga tersebut.

Dia melelong daranya di laman gadis teman sosial, Yantra yang beribu pejabat di sini.

Gadis itu tidak mahu namanya didedahkan kerana bimbang ibu bapanya akan mengetahui lelongan tersebut.

Pembeli itu akan membawa dia membeli-belah dan makan malam di sebuah restoran yang menjadi pilihan gadis tersebut selain diberikan dokumen pengesahan dara daripada doktor.

Namun, syarat melakukan hubungan seks yang perlu dipatuhi ialah lelaki tersebut perlu memakai kondom.

Pembeli itu juga dibenarkan memiliki laman gadis teman sosial tersebut hanya bagi tempoh 24 jam.

Harga permulaan lelongan itu ialah 5,000 euro (RM21,806).- Agensi

Macam macam lani ye..huhu

Tuesday, May 3, 2011

Takkan Buang Ke Laut...Jenazah Osama


Jenazah Osama dibuang ke laut


DUA anggota tentera Pakistan berkawal di sekitar kawasan Abbotabad, Pakistan, tempat Osama bin Laden dipercayai mati dibunuh.

WASHINGTON - Jenazah ketua kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden yang dibunuh pasukan keselamatan Amerika Syarikat (AS) dalam satu operasi rahsia di Pakistan awal pagi semalam didakwa telah disempurnakan secara Islam sebelum disemadikan di laut.

Beberapa media AS seperti rangkaian televisyen kabel AS termasuk CNN, MSNBC dan Fox melaporkan, seorang pegawai kanan AS mengesahkan kepada mereka bahawa jenazah Osama telah disemadikan di laut tanpa mengulas lanjut.

Beberapa pegawai kanan AS lain bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan apabila mereka diminta mengesahkan laporan itu oleh agensi berita Associated French Press (AFP).

Sebelum itu, seorang pegawai pentadbiran AS berkata, jenazah ketua Al-Qaeda berusia 54 tahun itu dikebumikan menurut syariat Islam.

"Kami memastikan bahawa ia (jenazah Osama) dikendalikan menurut amalan dan tradisi agama Islam," kata pegawai berkenaan. KOSMO.

Takkan bahasa..dibuang ke laut..kalau ya pun tunjukkan lah ..kuburnya



Sunday, May 1, 2011

Lelaki pandu kereta bawah lori


KERETA Mazda MX-5 menyelinap di bawah treler.

MIAMI, Amerika Syarikat (AS) - Ini bukan adegan filem tetapi satu realiti. Seorang pemandu mengundang padah dengan memandu kereta sportnya di bawah sebuah treler yang sedang bergerak, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kereta sport Mazda MX-5 yang dipandu lelaki tersebut menyelinap di bawah treler 18 tayar itu yang bergerak selaju 64 kilometer di sebatang jalan yang sibuk di negeri Florida.

Dia kemudian bergerak keluar dari bawah treler itu dan terus memandu pergi.

"Saya tidak percaya melihat aksinya. Dia mengundang bahaya kepada semua pemandu lain. Kadangkala kebodohan manusia tidak mengenal batasan," kata seorang saksi Ben Ellis yang merakam kejadian itu baru-baru ini. - Agensi

Friday, April 29, 2011

Penyelam temui harta karun jutaan dolar


SEBAHAGIAN duit syiling dan harta karun yang ditemui oleh kumpulan penyelam Deep Blue Marine.

SANTO DOMINGO - Kira-kira 700 duit syiling perak, batu cermin dan barang kemas penduduk Mayan pada era tahun 1500-an ditemui di dasar laut di luar pantai Republik Dominica, lapor sebuah akhbar semalam.

Ia ditemui oleh satu pasukan dari kumpulan pencari harta karun, Deep Blue Marine selepas mereka melakukan tinjauan 67.59 kilometer dari pantai dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.

Semasa membuat tinjauan itu, seorang nelayan tempatan menjual kepada mereka satu syiling lama yang ditemuinya semasa menyelam.

Anggota-anggota pasukan pencari harta karun itu mendapati ia merupakan antara duit syiling yang paling lama pernah ditemui.

"Kami bercakap kepada lelaki itu jika dia menunjukkan lokasi duit syiling tersebut ditemui, anda boleh bekerja dengan saya," kata Naib Presiden Deep Blue Marin, Randy Champion.

Kebanyakan duit syiling itu tidak mempunyai tarikh menyebabkan anggota-anggota kumpulan tersebut membuat rujukan dengan mencari maklumat menerusi sejumlah buku untuk mengetahui tahun duit berkenaan.

Menurut Champion, pasukan itu menyelam pada musim luruh yang lalu dan akan pergi ke lokasi tersebut dalam tempoh dua minggu lagi.

Bangkai kapal itu kini dipenuhi pasir dan terumbu karang. - Agensi