Penang Route 6

Penang Route 6 Shop

klik kan ye

Tuesday, October 25, 2011

Bergilir ponteng sekolah demi bapa


NIK NUR ALWANI (berdiri) memerhatikan adik-adiknya mengulangkaji pelajaran di rumah mereka di Sering, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - "Sayu hati ini bila tengok anak-anak terpaksa jaga bapa, datuk dan nenek mereka. Sedih mengenangkan pelajaran mereka yang tidak menentu tetapi apakan daya saya kerana tidak boleh berbuat apa-apa."

Begitulah rintihan pilu seorang ibu, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, yang terpaksa meminta lima anaknya ponteng sekolah secara bergilir-gilir demi menjaga suaminya, Zulkifli Deraman, 44, yang mengalami sakit angin ahmar serta bapa dan ibunya yang sakit tua sejak Januari lalu.

Dalam nada menahan sebak, Tengku Azizah yang kini terpaksa mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga berkata, dia berasa cukup sedih apatah lagi apabila melihat pelajaran anak-anaknya itu merosot teruk.

"Pihak sekolah ada yang sudah diberitahu ada yang tidak. Sebab ada anak yang minta saya jangan beritahu sekolah kerana mereka segan.

"Sekarang saya hanya teruskan hidup sekadar termampu, bertawakal dan berserah kepada Allah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Tok Ku, Sering di sini semalam.

Menurutnya, dia keluar bekerja menyara keluarga sebagai pembantu di sebuah kilang perabot di Pasir Tumboh dengan pendapatan harian kira-kira RM18 sehari.

"Kalau dikira setiap bulan saya akan menerima pendapatan RM540 tetapi kerana kerap mengambil cuti, pendapatan yang diperoleh terlalu sedikit dan tidak mencukupi kerana terpaksa menanggung kos lampin pakai buang suami yang berjumlah RM300 sebulan," katanya.

Disandarkan sebagai ketua famili yang mencari sesuap nasi untuk keluarga, Tengku Azizah keluar rumah untuk bekerja di kilang perabot seawal pukul 7.30 pagi dan pulang pada pukul 5.30 petang.

Ekoran itu, anak-anaknya, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16; Nik Muhamad Arif, 15; Nik Muhamad Afif, 13; Nik Mohamad Azwar, 11, dan Nik Nur Athirah, 10, pula terpaksa tidak ke sekolah sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk menjaga bapa, datuk dan nenek mereka.

TENGKU AZIZAH memberikan ubat kepada Zulkifli sambil diperhatikan Tengku Ahmad di Sering, Kota Bharu semalam.

Semua anaknya itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal.

Tengku Azizah turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Nik Muhammad Asyraf, 6, yang belajar di prasekolah.

"Suami saya diserang angin ahmar pada bahagian otak menyebabkan dia tidak sedar apa yang berlaku pada tubuhnya dan sukar untuk bertutur.

"Dia boleh terbuang air tanpa disedarinya. Saya juga jaga ibu dan bapa saya kerana mereka menjadi tanggungjawab saya memandangkan rumah yang saya duduk ini ialah rumah mereka. Saya sekeluarga hanya menumpang," ujar Tengku Azizah.

Dalam pada itu, Tengku Azizah tetap bersyukur kerana seorang anaknya, Nik Muhamad Arif berjaya juga menghadiri peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini.

Kakak sulung daripada enam beradik itu, Nik Nur Alwani memberitahu, dia dan adik-adiknya terpaksa ponteng sekolah bagi meringankan beban ibunya yang mengambil alih tugas menyara keluarga.

"Selepas bapa menghidap penyakit angin ahmar dan lelah sehingga dia tidak mampu menguruskan diri sejak dua tahun lalu, ibu terpaksa menjadi ketua keluarga dan mencari nafkah untuk kami sekeluarga.

"Keadaan bapa yang semakin teruk sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang memaksa kami bergilir-gilir ponteng sekolah menjaga bapa menggantikan ibu yang keluar bekerja," katanya.

Menurut Nik Nur Alwani, selain bapa, dia dan adik-adiknya turut menjaga kedua-dua nenek dan datuknya iaitu Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, dan Tengku Ahmad Tengku Daud, 90, yang uzur.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah di talian 014-5026179 atau salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya (03103-29-00015739-3).


3 comments:

nurkaloi said...

kesiannya
tp if mereka sekeluarga redha
byk rahmat yang akand diperolehi
hrp2 phk bertggjwb ambil tindakan perkara ni

Unknown said...

bagusnya anak macam ni...sekarang anak-anak ramai yang selfish

♛RaRa♛ said...

sedeh dan kesian tgk diorang.anyway selalu orang macam nie lah boleh berjaya.jom ramai2 doakan kehidupan mereke lebih baik dan dimurahkan rezeki :)