Penang Route 6

Penang Route 6 Shop

klik kan ye

Thursday, September 2, 2010

Cara remaja rai merdeka ditegur


GEORGETOWN - Sambutan menyambut detik 12 malam sempena meraikan Hari Kemerdekaan negara yang ke 53 di sini dicemari dengan pelbagai aksi liar remaja yang membimbangkan. Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan tumpuan sekitar negeri ini mendapati golongan remaja tanpa segan silu duduk berdua-duaan di pesisiran pantai Queensbay dan persiaran Gurney. Walaupun umat Islam masih lagi berada dalam bulan Ramadan, terdapat juga remaja perempuan yang memperagakan pakaian menyolok mata selain ada beberapa kumpulan yang tanpa segan silu menunggang arak beramai-ramai. Sinar Harian juga berkesempatan menyertai Operasi Kasih Sayang Remaja Malam Merdeka anjuran Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas) Pulau Pinang yang bertujuan membendung gejala sosial dalam kalangan remaja. Operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam itu menghimpunkan 400 ahli sukarela dari 12 badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar institusi pengajian tinggi yang prihatin terhadap masalah sosial remaja terutama kegiatan maksiat. Pengerusi Unggas, Mohd Nizam Mahshar berkata, dalam operasi semalam, pihaknya menyasarkan dua lokasi utama iaitu sekitar kawasan pantai Queensbay dan Pantai Bersih, Bagan Ajam yang dijadikan ‘port’ remaja melepak sementara menunggu detik jam 12 malam. Menurutnya, dalam operasi yang dilakukan sehingga jam 4 pagi semalam, lebih 5,000 remaja ditemui berpelesiran di sekitar kawasan Queensbay dan Pantai Bersih serta mendapati lebih 100 pasangan yang bukan muhrim duduk berduaan sambil melakukan perbuatan yang tidak senonoh. “Kita mendapati keramaian seperti ini terutamanya pada malam merdeka, malam tahun baru dan sambutan hari kekasih mengundang pelbagai kegiatan sosial yang serius. “Kita mengambil pendekatan turun padang ke port-port sosial dan memberi nasihat serta kaunseling kepada mereka agar dapat mengelakkan mereka daripada melakukan perbuatan maksiat kerana pada masa kini gejala tersebut semakin berleluasa termasuk pembuangan bayi,” katanya pada sidang media, semalam. Nizam berkata, dalam operasi yang diadakan semalam, mereka juga mengedarkan 10,000 risalah mengenai bahayanya perbuatan maksiat serta kesannya terhadap kehidupan seharian remaja. “Kita edarkan risalah ini di beberapa tempat seperti bazar Ramadan, masjid dan beberapa lagi kawasan tumpuan. Dalam risalah berkenaan menceritakan mengenai masalah yang mungkin berlaku sekiranya anak-anak tidak pulang pada waktu malam. “Kita berharap dengan pendekatan melalui risalah ini, ibu bapa akan lebih prihatin dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka,” katanya. Sementara itu, dalam operasi semalam, Nizam berkata, pihaknya telah mendekati lebih 500 kes yang melibatkan remaja semasa meraikan sambutan malam kemerdekaan. Menurutnya, dalam operasi yang dilakukan mendapati remaja tanpa berasa takut melakukan kesalahan jenayah seperti merempit, pengambilan bahan terlarang seperti dadah dan gam. Selain itu, ada remaja yang didapati meraikan merdeka dengan meminum minuman keras. Nizam berkata, selepas pemantauan dan nasihat diberikan, pihaknya mengenal pasti lebih 50 orang remaja bermasalah kritikal dan membawa mereka untuk diberikan khidmat kaunseling oleh lapan kaunselor yang diundang khas dalam operasi tersebut.