Seri Kembangan: Usianya baru 15 tahun, tapi sudah mahu menunjukkan bakat menggantikan ibunya sebagai penyanyi dan penari separuh bogel di Medan Selera Serdang di Taman Perindustrian Bukit Serdang, di sini.
Bagaimanapun, tindakan remaja berasal dari Bandar Tun Razak yang berhenti sekolah tahun lalu itu memakan diri apabila ditahan polis dalam Ops Noda di situ, malam kelmarin.
Gadis itu mendakwa kali pertama membuat persembahan sebab menggantikan ibunya yang sakit dan tak boleh menyanyi.
Ibunya berusia 53 tahun turut ditahan ketika serbuan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bermula jam 11 malam.
Ibunya berusia 53 tahun turut ditahan ketika serbuan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bermula jam 11 malam.
Operasi diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik IPD Serdang Deputi Superintendan Ramsay Anak Embol.
Ramsay berkata, ketika serbuan, 15 wanita berada di atas pentas menari dan dikalungkan bunga.
“Serbuan dilakukan 23 anggota, termasuk empat pegawai, selepas mendapat aduan dan maklumat awam berhubung persembahan mengghairahkan di medan selera itu.
“Semua 15 wanita itu berusia antara 15 hingga 50-an. Tujuh tempatan, tujuh warga China dan satu dari Thailand ditahan untuk siasatan lanjut.
“Dua lelaki tempatan yang disyaki penjaga premis turut ditahan,” katanya.
Menurutnya, semua tangkapan dibawa balik ke Balai Polis Seri Kembangan di atas pelbagai kesalahan, antaranya beroperasi tanpa permit hiburan, menggajikan pekerja tanpa permit, salah guna pas pelawat dan pas pelajar serta pasport tamat tempoh atau tinggal lebih masa.