MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui jumlah wang yang diberikan sebagai hadiah kemenangan dalam program Junior Cycling Malaysia (JCM) anjuran Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sememangnya kecil.
Namun begitu, Khairy berkata JCM memilih untuk buat demikian memandangkan apa yang paling penting untuk kategori umur kanak-kanak adalah minat, pengalaman penyertaan dan kemahuan untuk menang malah bukan kerana habuan wang.
“Jika dari peringkat kanak-kanak kita sudah biasakan mereka dengan hadiah wang tunai, saya risau mereka akan lupakan matlamat utama mereka berjuang dalam sukan,” tulis beliau di laman Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, Khairy mendapat kecaman hebat daripada netizen berikutan daripada pemberian hadiah bagi program JCM yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) pada 9 April lalu dianggap seolah seperti tidak berbaloi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kerana hadiah, KJ dikecam netizen]
Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya mahu peserta-peserta program tersebut membesar dengan nilai serta sikap yang betul.
“Ya, wang memang penting dan jika mereka berjaya dalam sukan, mereka akan mendapat ganjaran dari segi kewangan di kemudian hari tetapi jangan kita merosakkan mereka ketika mereka masih muda.
"Biarkan mereka mahu menang demi untuk menang, untuk menjadi yang terbaik bukan kerana wang tetapi kerana kesungguhan dan penghormatan,” katanya.
Selain daripada itu, Khairy turut memaklumkan bahawa hadiah kemenangan tersebut telah dimaklumkan kepada semua peserta sebelum pendaftaran malah dipaparkan dalam laman web JCM dan tiada sebarang isu yang timbul.
Tambah beliau, rata-rata ahli keluarga peserta yang membawa anak mereka tidak memikirkan mengenai soal hadiah wang tunai namun mereka mengorbankan masa demi minat anak-anak dalam sukan tersebut.
“Kalau ada perkara yang perlu diperbetulkan, ia merupakan pemberian mock cheque kepada pemenang-pemenang. Itu akan dihentikan untuk acara-acara JCM kelak,”katanya.
Dalam pada itu, susulan daripada penyebaran foto Khairy menyampaikan replika cek yang menjadi viral di laman sosial tersebut, terdapat pihak cuba mengambil kesempatan dengan mengubahsuai gambar terbabit untuk dijadikan bahan jenaka.
Menerusi foto yang dimuat naik ke laman sosial Facebook OhBulan! menunjukkan gambar-gambar yang menjadi viral tersebut diubah suai dengan kapsyen yang dilihat seolah-olah seperti menyindir Khairy.
Namun begitu, terdapat juga sesetengah netizen yang mempertahankan Khairy dan beranggapan beliau tidak mengetahui mengenai pemberian hadiah tersebut.