MERSING - Bermula dengan mengajar mengaji al-Quran dan mukadam di rumah
kepada anak-anak di kampungnya, pasangan suami isteri ini nekad
meneruskan usaha murni itu hingga berdirinya Wakaf Darul Quran pada
April tahun lalu.
Pengasasnya, Mohd Fauzi Ismail, 42, atau lebih dikenali dengan panggilan
Ustaz Fauzi berkata, berkat bantuan rakan dan penduduk setempat,
akhirnya murid-muridnya kini lebih selesa ketika mengaji.
“Mulanya saya dan isteri (Suhailah Abd Aziz, 41) mengajar ngaji di rumah
mertua di Kampung Sungai Siapu, tapi lama-kelamaan rumah makin sesak
sebab semakin lama murid semakin ramai.
“Saya suarakan kepada rakan-rakan yang terdiri dari golongan profesional
dan teknikal di Johor Bahru, di mana saya beri kuliah falaq mengenai
perkara itu. Alhamdulillah... mereka hadiahkan kami kabin seluas 20x40
siap pasang dan ‘wiring’,” katanya kepada Sinar Harian.
Namun, lama-kelamaan kelas berkonsepkan kabin itu juga tidak muat sehingga timbul idea untuk membina wakaf.
“Kita bina empat wakaf berdekatan kabin untuk kelas mengaji. Baru-baru
ini dalam satu program Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim),
kita terima dua lagi wakaf,” katanya sambil melahirkan rasa bersyukur
atas keprihatinan pihak berkenaan.
Bukan sahaja kelas mengaji, murid di sini juga diajar bacaan dalam solat dan azan, selain solat Maghrib serta Isyak berjemaah.
Di sini juga, ramai golongan dewasa yang turut serta belajar mengaji terutama selepas waktu bekerja.
Meskipun tiada pendapatan tetap setiap bulan, operasi Wakaf Darul Quran
tetap berjalan sehingga hari ini dengan meletakkan keyakinan sepenuhnya
kepada ALLAH SWT.
Menurut Ustaz Fauzi, murid di situ dikenakan yuran RM15 sebulan, namun tidak semuanya mampu membayarnya.
“Kebanyakan orang kampung di sini susah, kalau 10 orang mungkin seorang
je mampu bayar. Tapi besarnya kuasa ALLAH, tak pernah sehari kita
berhenti operasi.
“Kita tak ada pendapatan mahupun bantuan tetap setiap bulan. Semuanya kita bergantung kepada ALLAH.
“Saya tak tahu dari mana datangnya duit, Alhamdulillah ada rezeki untuk
kita bayar upah guru-guru, bil utiliti dan sebagainya. Kos operasi
mencecah kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 sebulan,” katanya.
Kini, Wakaf Darul Quran yang beroperasi enam hari seminggu dari jam 2
petang hingga 9 malam itu mempunyai 15 guru dengan 250 pelajar bermula
dari usia 4 tahun.
Sebarang bantuan boleh dihulurkan melalui akaun Bank Islam Wakaf
Darul Quran 01096010021767 atau hubungi Ustaz Fauzi di akaun
Facebook-Imam Fauzi.