Penang Route 6

Penang Route 6 Shop

klik kan ye

Thursday, March 8, 2012

Skim SBPA dimansuh, pelarasan gaji 7 - 13 peratus


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun ini dimansuhkan.

Dalam pengumuman di depan ribuan penjawat awam di Putrajaya hari ini, Najib berkata keputusan itu dibuat setelah mendengar rintihan penjawat awam yang tidak berpuas hati.

"Dengan keputusan ini, Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan," katanya pada majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Berhubung pelarasan gaji pula, ia dibuat berdasarkan jadual gaji matriks SSM mengikut peratusan gred yang ditetapkan
seperti berikut:

Kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.
Kenaikan 9 peratus untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A.
Kenaikan 8 peratus untuk turus 3 dan 2.
Kenaikan 7 peratus untuk turus 1 dan ketua setiausaha.
Najib mengakui sepanjang tempoh tiga bulan SBPA diperkenalkan, kerajaan menerima hampir 1,000 aduan dan memorandum, termasuk cadangan daripada 23 persatuan berkaitan.

"Saya harap semua pihak reda dan tak ada lagi yang tak puas hati di semua peringkat. Saya doakan ini jadi penyelesaian terbaik.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," kata Perdana Menteri sambil menjelaskan bahawa berikutan rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lalu memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam TanSri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan.

Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Najib juga berkata kerajaan turut bersetuju elaun bantuan sara hidup (COLA) bagi kawasan B dan C masing-masing dinaikkan daripada RM150 kepada RM250 sebulan.

Sebelum ini, COLA bagi kawasan B dan C masing-masing ditetapkan pada kadar RM200 dan RM100. Malaysiakini....