Home

Nuff

klik kan ye

Sunday, October 31, 2010

Universiti Oxford malu dek kes buli


Gambar memalukan pada majlis Bayi dan Ibu Remaja di Facebook menunjukkan pelajar-pelajar baru memakai lampin bayi.

OXFORD - Pihak pengurusan Universiti Oxford di Britain dimalukan insiden sekumpulan pelajar senior memaksa beberapa belas pelajar baru berpakaian seperti bayi pada majlis suai kenal pasukan bola lakros wanita universiti berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Mahasiswi tahun pertama yang diterima menyertai pasukan itu dipaksa memakai lampin bayi dan menghisap botol susu berisi arak pada majlis suai kenal yang ganjil tersebut di sini pada Rabu lepas.

Sementara itu, pelajar-pelajar senior melakonkan watak ibu dengan memakai pakaian sukan dan menghisap rokok sambil menengking 'anak-anak' mereka.

Gambar-gambar kes buli pada majlis itu yang menampilkan temaBayi dan Ibu Remaja, disiarkan di laman jaringan sosial, Facebook.

Ketika ditanya berhubung kejadian memalukan tersebut, seorang jurucakap universiti berkenaan enggan memberikan sebarang komen. - Agensi..KOSMO

Saturday, October 30, 2010

Ragam Dunia...Kereta rempuh bilik tidur


Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan dalam apa jua keadaan. Imej yang ditunjukkan polis Victoria, Australia, membuktikannya. Gambar menunjukkan sebuah kereta terperosok ke dalam bilik tidur sebuah rumah di Melbourne, awal semalam.

Penghuni tunggal rumah itu bernasib baik kerana berada di bilik lain ketika kejadian dan baru bercadang masuk tidur apabila sebuah kereta tiba-tiba merempuh bilik tidurnya, kata polis. Kenderaan berkenaan merempuh pagar rumah, memecahkan dinding kediaman sebelum terhenti di bilik pemilik rumah iaitu Demitrios Bisbelis, seorang perunding teknologi maklumat. Dia baru mahu masuk ke bilik itu apabila terdengar dentuman kuat. “Saya bernasib baik kerana katil bilik tidur sudah musnah sama sekali,” katanya...Berita Harian

Friday, October 29, 2010

Kereta James Bond dilelong RM12.8 juta


GAMBAR menunjukkan kereta Aston Martin DB5.

LONDON - Sebuah kereta Aston Martin DB5 berwarna perak yang pernah dipandu oleh pelakon Sean Connery dalam filem Goldfinger dan Thunderball dilelong di sini kelmarin pada harga £2.6 juta (RM12.8 juta).

Kereta unik yang mempunyai mesingan, nombor pendaftaran yang boleh berputar dan gear khas itu dibeli oleh pengumpul kenderaan klasik dari Ohio, Amerika Syarikat (AS), Harry Yeaggy.

Yeaggy, seorang ahli perniagaan yang mempunyai sebuah muzium peribadi di Ohio, berkata, dia tidak sabar untuk memandu kereta itu yang boleh bergerak selaju 233 kilometer sejam.

Menurutnya, kereta itu tidak pernah dilelong sebelum ini menyebabkan ia menjadi daya tarikan tinggi kepada pengumpul kereta klasik.

Pemilik asal kereta itu ialah pemilik stesen radio WBEB dari Philadelphia, AS, Jerry Lee.

Lee membeli kereta itu pada 1969 dengan harga AS$12,000 (RM37,296).

Lee berkata, hasil lelongan itu akan disumbangkan kepada sebuah yayasan miliknya untuk melakukan projek pendidikan dan antijenayah di peringkat antarabangsa.

Menurut, Ketua Pengarang majalah Classic & Sports Car Magazine, Mick Walsh, ia merupakan satu-satunya kereta filem James Bond yang tulen.

Kereta itu turut dilengkapi dengan alat pengesan, bumbung yang boleh dibuka, penyembur minyak, alat pelindung kalis peluru dan skrin asap.

Semua peralatan itu dikawal oleh togol dan suis tersembunyi.

Kereta Aston Martin itu dibuat dengan gabungan reka bentuk Itali dan kejuruteraan Britain.

Filem James Bond telah mempopularkan kereta Aston Martin walaupun kenderaan buatan tangan itu dianggap dijual pada harga yang amat mahal. - Agensi ..KOSMO

Thursday, October 28, 2010

Gambar pelangi berkembar


GAMBAR yang dirakamkan Andy Kyle menunjukkan pelangi berkembar di Sungai Dartmouth, Devon.

DEVON - Seorang jurugambar, Andy Kyle yang berusia 53 tahun berjaya merakamkan gambar pelangi berkembar yang melengkung dan seakan-akan kelihatan seperti sebuah jambatan di Sungai Dartmouth di Devon, lapor sebuah akhbar semalam.

Gambar itu dirakamkan selepas Kyle merakamkan lebih 2,000 imej sejak tujuh tahun lalu sebelum dia berjaya merakam gambar pelangi berkembar.

Imej kedua pelangi itu dikatakan berlaku disebabkan oleh dua biasan cahaya matahari pada titisan hujan. - Agensi..KOSMO

Subhanallah..itulah...keindahan ciptaan Allah.

Wednesday, October 27, 2010

Skuter untuk menyelam di terumbu karang


GAMBAR menunjukkan seorang wanita menggunakan skuter selam ciptaan Andrew Sneath di sebuah kolam renang.

LONDON - Seorang pereka Britain, Andrew Sneath memperkenalkan skuter selam HydroBoB bagi meneroka kawasan terumbu karang, lapor sebuah akhbar semalam.

Mereka yang tidak pandai berenang boleh menaiki skuter itu untuk meneroka lokasi-lokasi pelancongan di seluruh dunia sehingga kedalaman 30 meter selepas mendengar penerangan mengenai operasinya selama 10 minit.

Pengguna HydroBOB tidak perlu memakai gogal, peralatan pernafasan atau sut selam.

Para pengguna itu boleh memakai cermin mata dan bercakap ketika berada di dalam air.

Sebuah kubah kaca memberi pandangan 180 darjah manakala kenderaan itu dilengkapi dengan tangki oksigen yang boleh digunakan selama sejam di dalam air.

Skuter itu dijana dengan menggunakan bateri 12 volt yang terletak di bawah tempat duduk yang membolehkannya bergerak selaju dua knot.

Setakat ini, Sneath menerusi syarikatnya, Hydrodome, mengeluarkan 350 HydroBoB untuk disewa di beberapa lokasi pelancongan di dunia termasuk Kepulauan Bahamas, Australia dan Tenerife. - Agensi


Tuesday, October 26, 2010

Kegiatan maksiat atas bumbung berakhir tragedi


ANAK panah menunjukkan arah seorang budak perempuan berusia 12 tahun terjatuh dari tingkat enam ketika cuba turun melalui dinding sebuah apartmen di Petaling Jaya kelmarin. Gambar kecil menunjukkan keadaan mangsa selepas terjatuh.

PETALING JAYA – Seorang gadis sunti berusia 12 tahun yang menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat enam Blok E dekat Apartmen Lestari di Damansara Damai di sini kelmarin dikatakan selalu berada di situ untuk melakukan perbuatan sumbang.

Perkara tersebut didedahkan oleh penduduk di situ yang sebelum ini sering melihat mangsa bersama beberapa remaja lelaki naik ke bumbung bangunan itu.

Menurut mereka, remaja perempuan berkenaan bukan penduduk di situ. Selain itu, dia juga sering dilihat terhendap-hendap setiap kali hendak ke bumbung bangunan tersebut.

Seorang penghuni yang enggan dikenali berkata, penduduk kemudian bersepakat untuk memasang perangkap bagi mengetahui aktiviti mereka.

“Alangkah terkejutnya kami apabila melihat mangsa sedang berasmara dengan tiga remaja lelaki di situ.

“Kami kemudian menyergah mereka menyebabkan mereka terkejut dan cuba melarikan diri. Ketika itulah mangsa cuba turun dengan memanjat dinding tetapi dia gagal lalu terjatuh ke tanah,” ceritanya ketika ditemui semalam. KOSMO

Monday, October 25, 2010

Hantu guna telefon bimbit untuk berkomunikasi


GAMBAR menunjukkan seorang wanita menggunakan telefon bimbit di Tokyo pada Jumaat lalu. - Gambar hiasan


LONDON - Seorang penyiasat paranormal, Phil Hayes percaya hantu kini menggunakan telefon bimbit untuk berkomunkasi, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Menurutnya, panggilan yang dibuat oleh hantu itu selalunya mempunyai suara tidak jelas dan didengar sayu--sayup seolah-olah dari jarak terlalu jauh.

Sembilan daripada sepuluh panggilan yang dibuat oleh hantu itu mempunyai nombor 000000000000.

Statistik menunjukkan dua pertiga daripada fenomena paranormal itu menampilkan bunyi dengan 20 peratus melihat imej hantu dan 15 peratus lagi berdasarkan bau.

Satu penyelidikan terbaru menunjukkan satu daripada tiga rakyat Britain mendakwa melihat jelmaan hantu dalam gambar atau merakamkan imej paranormal menerusi telefon bimbit.

Kajian yang dilakukan oleh syarikat Tesco Mobile mendedahkan terdapat 70 peratus peningkatan bukti paranormal pada tahun lalu disebabkan oleh orang ramai menggunakan telefon bimbit untuk berkomunikasi.

Lebih separuh daripada warga Britain mendakwa pemilik telefon bimbit cuba merakamkan gambar hantu tetapi seorang daripada lima orang mengaku mereka akan menjadi takut dan melarikan diri apabila ternampak hantu.

Hayes berkata: "Terdapat bukti yang menyatakan bahawa hantu boleh menggunakan telefon untuk berkomunikasi, dengan terdapat laporan-laporan orang ramai menerima panggilan telefon daripada saudara yang telah meninggal dunia."

Ketua Pegawai Eksekutif Telsco Mobile, Lance Batchelor berkata: "Kami mencadangkan kepada sesiapa yang cukup berani untuk merakamkan sebarang gambar hantu supaya menghantar mesej perkhidmatan multimedia (MMS) atau e-mel gambar yang dirakamkan mereka kepada persatuan paranormal untuk dilakukan siasatan." - Agensi..KOSMO

Friday, October 22, 2010

Komputer riba Apple paling nipis


GAMBAR menunjukkan satu model komputer MacBook Air.

CUPERTINO, California - Syarikat komputer Apple Inc. memperkenalkan dua komputer riba MacBook Air yang nipis kelmarin.

Salah satu komputer riba itu mempunyai skrin seluas 33.8 sentimeter (sm) manakala yang kedua mempunyai skrin 29.4sm.

Komputer MacBook yang lebih besar itu senipis 1.73 sentimeter dan seberat 1.3 kilogram (kg) manakala baterinya tahan selama tujuh jam.

Satu lagi model komputer riba itu seberat 2.2kg dan baterinya tahan selama lima jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs berkata semasa melancarkan: "Kami bertanya kepada diri sendiri, apa akan berlaku jika MacBook dan iPad digabungkan? Maka inilah hasilnya."

iPad ialah komputer tablet keluaran Apple.

GAMBAR menunjukkan dua model komputer MacBook Air yang nipis di Cupertino, California kelmarin.

Komputer MacBook Air tidak boleh membaca cakera padat (CD) atau cakera padat digital (DVD).

Ia hanya menggunakan memori flash seperti iPhone.

Komputer Macbook Air dijual pada harga bermula AS$999 (RM3,103) dengan storan memori 64 gigabit.

Pada harga AS$1,199 (RM3,725) ia dilengkapi dengan memori 128 gigabit.

Komputer Macbook yang lebih besar ditawarkan pada harga AS$1,299 (RM4,035) dengan kapasiti 128 gigabit atau $1,599 (RM4,968) bersama storan 256 gigabit. - Agensi...KOSMO hari ini

Thursday, October 21, 2010

Stewie kucing terpanjang di dunia


GAMBAR menunjukkan Stewie yang sepanjang 1.23 meter.

LAS VEGAS - Seekor kucing yang berusia lima tahun telah memecahkan rekod dunia Guinness sebagai kucing domestik paling panjang di dunia. Kucing tersebut yang diberi nama Stewie diukur dari hujung hidungnya ke hujung ekor sepanjang 1.23 meter.

Rekod kucing terpanjang sebelum ini adalah 1.21 meter.

Pemilik Stewie, Robin Hendrickson dan Erik Brandsness dari Reno, Nevada, memberitahu, ramai orang terpegun dengan kepanjangan kucing itu. - AP...KOSMO

Wednesday, October 20, 2010

Ibu hilang anak dipatuk ular


PESIES ular sawa tikus inilah yang dikatakan mematuk kaki Sabariah.

KEMAMAN – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib malang yang menimpa Sabariah Mansor, 42, ibu kepada bakal pengantin yang hilang, Rozaliya Mat Lazim, 20, apabila dia kini terpaksa menanggung kesakitan selepas dipatuk ular malam kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10 malam ketika Sabariah bersama keluarganya baru pulang daripada menemui seorang pengamal perubatan tradisional di Kuala Kemaman untuk mencari anak perempuannya yang hilang.

Rozaliya yang dijadualkan berkahwin pada 12 November ini hilang sejak 13 Oktober lalu ketika keluar membeli barangan keperluan perkahwinan di Kuantan.

Menurut Sabariah, setiba di rumah, kaki kanannya tiba-tiba terasa sakit seperti digigit sesuatu ketika hendak menaiki tangga untuk masuk ke rumah.

Selepas diperiksa, katanya, ada kesan darah di kaki dan dia ternampak kelibat seekor ular dipercayai ular sawa tikus bergerak pantas keluar dari kawasan rumahnya.

“Akibat dipatuk ular, kaki saya bengkak dan bertukar menjadi kebiru-biruan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Baru Cheneh dekat sini semalam. KOSMO

Tuesday, October 19, 2010

Lambang Batman di Jepun


PETA enjin carian Google menunjukkan lambang seperti Batman (dalam bulatan) di Pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di Kadena, Pulau Okinawa, Jepun.

KADENA, Jepun - Beberapa gambar pemandangan udara yang diperoleh daripada enjin carian Google di Internet menemui lambang Batman pada sebuah hangar di Jepun, lapor sebuah akhbar semalam.

Simbol adi wira itu ditemui oleh seorang pengguna peta Google yang tertera pada bumbung sebuah hangar di Pangkalan Udara Kadena milik Tentera Udara Amerika Syarikat di sini, pulau Okinawa.

Lambang itu dicat dengan warna putih pada salah sebuah hangar yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang skuadron Ke-44 Tentera Udara AS.

Skuadron berkenaan yang mengendalikan jet F-15 Eagle, menggunakan kelawar sebagai simbolnya. - Agensi..KOSMO

Monday, October 18, 2010

Uji kenderaan baru guna alat kawalan jauh


SEORANG wanita menguji sebuah kenderaan Mitsubishi Outlander Sport dengan menggunakan alat kawalan jauh di sebuah kawasan di California baru-baru ini.

LOS ANGELES - Pengeluar kenderaan Mitsubishi menjadi syarikat yang pertama di dunia membenarkan pelanggan menguji kenderaan utiliti sport (SUV) dengan menggunakan alat kawalan jauh, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Syarikat dari Jepun tersebut menggunakan teknologi yang membolehkan pelanggan-pelanggannya menguji kenderaan Outlander Sport tetapi dengan kelajuan cuma 48 kilometer sejam.

Ujian seperti permainan video itu merupakan yang pertama di dunia.

Kenderaan yang diuji itu dilengkapi dengan perkakasan alat kawalan jauh termasuk kamera dan Sistem Panduan Arah (GPS).

Pelanggan-pelanggan dikatakan boleh menguji kenderaan itu yang berharga AS$22,387 (RM69,052) dengan menggunakan alat kawalan jauh dari rumah. - Agensi ..KOSMO

Sunday, October 17, 2010

Logo halal pelaris perniagaan


PENGARAH Eksekutif Sireh Emas Marketing Sdn. Bhd., Husin Misnan (kiri) bersama seorang pengedar, Rosdee Mustafa menunjukkan produk keluaran syarikat itu yang dipamerkan pada Kempen 1Malaysia 1Halal.

SEREMBAN - Golongan usahawan wajar memanfaatkan logo halal yang berpotensi membantu meningkatkan perniagaan hingga ke seluruh dunia berdasarkan kajian oleh Unit Penyelidikan Kualiti Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penolong Pengarah Unit Pembangunan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd. Fitri Muhamed menjelaskan, industri halal semakin mendapat perhatian dan mempunyai potensi tinggi untuk diterokai.

"Berdasarkan kajian UKM tersebut, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal mampu berkembang dan berpotensi mencatat jualan sebanyak AS$2.1 trilion (RM7.35 trilion) setahun," katanya. KOSMO

Friday, October 15, 2010

Pertandingan tidur sekejap di Madrid


SEORANG doktor memeriksa seorang peserta yang tidur di atas bangku pada pertandingan tidur sekejap di Madrid semalam.

MADRID - Sejumlah peserta mengambil bahagian dalam pertandingan tidur sekejap di sebuah pusat beli-belah di sini. Peserta-peserta dalam lima kumpulan diberikan masa selama 20 minit untuk tidur di atas bangku berwarna biru dalam pertandingan itu.

Sebuah kumpulan, Persatuan Rakan-Rakan Tidur Sekejap menganjurkan pertandingan itu yang bermula semalam dan berlangsung selama sembilan hari.

Hadiah utama ialah wang tunai AS$1,410 (RM4,349).

Matlamat pertandingan itu adalah untuk mempromosikan tidur selepas waktu makan yang merupakan tradisi Sepanyol yang semakin terhakis akibat gaya hidup moden.

Peserta-peserta akan mendapat markah bagi kategori individu pertama yang terlelap, berdengkur paling kuat, kedudukan tidur terbaik dan pakaian tidur terbaik.

Doktor-doktor hadir untuk memeriksa sama ada para peserta itu betul-betul tidur. - AP..KOSMO

Thursday, October 14, 2010

Peraturan kad kredit lebih ketat


DISARANKAN hanya dua kad kredit dipegang oleh pengguna untuk mengekang budaya boros.

KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka mengguna pakai peraturan yang lebih ketat untuk mengekang kemungkinan perbelanjaan besar oleh pemilik kad kredit serta aktiviti spekulatif dalam pasaran hartanah dalam Bajet 2011.

Menurut Kenanga Research, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memberi tumpuan dalam menangani hutang isi rumah pada tahun depan bagi menggalakkan perbelanjaan kad kredit secara berhemah.

Menurutnya, langkah baru sewajarnya perlu ada untuk mengehadkan bilangan kad yang boleh dimiliki selain nilai kredit setiap kad yang lebih rendah.

"Bank pusat harus mengehadkan pengguna untuk memiliki hanya dua kad kredit daripada dua bank pilihan masing-masing dan membenarkan pengguna yang pendapatan tahunan melebihi RM24,000 memiliki kad kredit berbanding keperluan minimum sekarang sebanyak RM18,000.

"Bank pusat juga perlu mengurangkan had perbelanjaan sebanyak 1.5 kali gaji bulanan masing-masing (sekarang 2.5-3.0 kali), ditetapkan mengikut budi bicara bank itu bagi pemohon pertama kali," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Bajet 2011 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini. KOSMO

Wednesday, October 13, 2010

Terselamat walau kenderaan jatuh tingkat dua


GLENDALE, Los Angeles – Seorang warga emas berusia 83 tahun bernasib baik kerana masih terselamat selepas kenderaan Land Rover yang dipandunya terjatuh dari tingkat dua bangunan pangsapurinya di Glendale, Los Angeles, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia hanya cedera ringan walaupun kenderaan itu berpusing sebelum bumbungnya terhempas ke tanah pada Jumaat lalu.

Pesara itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan USC, Los Angeles untuk dirawat.

Insiden itu dikatakan berlaku kerana dia tersalah menekan pedal minyak yang disangkanya pedal brek menyebabkan Land Rover yang dipandunya merempuh dinding penghadang tempat letak kenderaan. - Agensi..kosmo..

Tuesday, October 12, 2010

Obama nyaris terkena balingan buku


SEBUAH buku (dalam bulatan) hampir mengenai kepala Barack Obama semasa dia berkempen di Vernon Park, Philadelphia kelmarin.

PHILADELPHIA - Kepala Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama nyaris terkena sebuah buku yang dibaling ke arahnya semasa beliau berucap dalam satu kempen politik di Vernon Park Philadelphia kelmarin, lapor, sebuah akhbar semalam.

Masih tidak jelas kenapa buku itu dilontar ke arah Obama. Kejadian itu kini disiasat oleh pihak Perkhidmatan Rahsia dan ia jelas menunjukkan kegagalan pasukan keselamatan menjaga keselamatan Presiden AS itu.

Dalam kempen itu, seorang lelaki berbogel turut ditahan dan tangannya digari oleh polis.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada lelaki tersebut membaling buku berkenaan dan punca beliau tidak berpakaian.

Obama berkempen di sini bagi menarik perhatian sokongan para pengundi supaya menyokong Parti Demokrat tiga minggu sebelum pilihan raya Kongres diadakan pada 2 November depan.

Parti Demokrat kini berdepan masalah dengan pengundi yang tidak lagi berminat untuk keluar mengundi.

Parti itu dilihat terdesak untuk memenangi hati para pengundi.


SEORANG wanita mengelak daripada melihat seorang lelaki bogel yang ditangkap polis semasa Barack Obama berkempen di Vernon Park, Philadelphia kelmarin.

Tinjauan pendapat menunjukkan rasa tidak puas hati dan marah kepada Obama ekoran prestasi pemulihan ekonomi AS yang lembab dan masalah pengangguran yang mencecah 9.6 peratus.

Pada 2008, Presiden AS, George W. Bush pernah dibaling kasut oleh seorang wartawan Iraq di Baghdad. KOSMO

Monday, October 11, 2010

Sakit mata gelagat Awang Hitam


SEBUAH pub di Taman Connaught, Cheras menjadi tumpuan warga Afrika melepak bersama rakan-rakan.

KUALA LUMPUR – Sesiapa yang tidak pernah menjejaki kaki ke Taman Connaught, Cheras di sini pasti terpegun dan hairan kerana kelibat lelaki warga Afrika senang ditemui di situ.

Dari stesen minyak, restoran makanan segera, kedai mamak sehingga sebuah pub di situ hanya kelibat warga Afrika yang kelihatan.

Fenomena itu membuatkan anda yang bukan penduduk di situ pasti merasa keliru dan tidak senang kerana suasana di situ seolah-olah anda berada di bumi Afrika.

Warga Afrika tanpa mengira jantina dilihat tidak kekok untuk melepak dengan gaya hidup mereka yang tidak ada perasaan segan silu.

Tinjauan Kosmo! mendapati sebuah pub di situ telah dijadikan markas oleh warga Afrika untuk berhibur dan berkumpul bersama rakan-rakan senegara.

Sepanjang hari lagu-lagu yang dimainkan dalam pub itu pula berunsur lagu-lagu rock dan balada.

Oleh itu, tidak ada penduduk tempatan yang berani menjejakkan kaki ke pub itu kerana ia telah didominasi oleh warga Afrika sejak sekian lama.

Jika ada gadis-gadis tempatan melalui pub tersebut, pasti ia menjadi tarikan kepada warga Afrika untuk memikat mereka dipercayai untuk dijadikan teman sosial.

Ibarat kawasan itu mereka punya, aktiviti berseronok di pub tersebut bermula seawal pukul 11 pagi dan semakin aktif menjelang tengah malam apabila lebih ramai di kalangan warga asing itu memenuhi segenap ruang pub berkenaan.

Menjelang tengah malam, keadaan pub itu didakwa menjadi bising dengan gelagat warga asing yang juga didakwa kerap bergaduh. KOSMO

Saturday, October 9, 2010

Pelik ye ::Papan iklan unik di London


DUA pejalan kaki melihat tiga wanita yang menyamar sebagai patung di papan iklan Johnson & Johnson di pusat beli-belah Westfield, London baru-baru ini.

LONDON - Para pengunjung sebuah pusat beli-belah di Britain kelmarin terkejut apabila melihat beberapa wanita menjadi model hidup di sebuah papan iklan di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebuah akhbar melaporkan, papan iklan berkonsepkan seni timbul di pusat beli-belah Westfield, di sini menampilkan tiga model seksi yang menyamar menjadi patung, baru-baru ini.

Seorang model berambut perang duduk dalam keadaan separuh bogel di belakang segumpal awan dengan model kedua bergaya di belakang sebatang pokok.

Model ketiga yang berpakaian singkat duduk di atas buaian di tengah papan iklan tersebut. Mereka akan mengejutkan orang ramai dengan menggerakkan jari-jari kaki.

Trio berkenaan membantu kempen promosi losyen pelembap 24 jam Johnson & Johnson. - Agensi..kosmo

Friday, October 8, 2010

Lelaki Tukang urut cucu Raja Arab Saudi tanpa berpakaian


GAMBAR rakaman kamera litar tertutup yang tidak bertarikh menunjukkan Saud Bin Abdulaziz memukul pembantu lelakinya, Bandar Abdullah Abdulaziz di dalam sebuah lif di Hotel Landmark, London.


LONDON - Seorang lelaki yang bekerja sebagai teman sosial, Pablo Silva mendedahkan di sebuah mahkamah bahawa dia tidak berpakaian semasa mengurut anggota kerabat diraja Arab Saudi, Saud Abdulaziz bin Nasser al Saud, lapor sebuah akhbar semalam.

Silva yang merupakan seorang pelajar membuat keterangan itu kelmarin dalam perbicaraan kes Saud yang dituduh membunuh seorang pembantu lelakinya, Bandar Abdullah Abdulaziz di sebuah hotel di sini.

Mayat Bandar ditemui mati di bilik yang dikongsinya bersama Saud pada 15 Februari lalu di Hotel Landmark.

Silva yang merupakan pelajar kedoktoran dalam bidang matematik di sebuah universiti di Portugal memberitahu mahkamah dia tidak pasti sama ada terdapat elemen seks semasa mengurut Saud.

Dia menyatakan demikian semasa menjawab soalan pendakwa raya Jonathan Laidlaw.

Menurutnya, dia meminta putera itu menanggalkan pakaian yang dipakainya supaya dia boleh mengurut tubuhnya.

Lelaki itu berkata, pada kebiasaannya, dia akan menanggalkan pakaiannya semasa mengurut bagi memberikan sedikit rangsangan kepada pelanggannya.

Silva berkata, dia mahu meninggalkan Saud selepas putera itu didapati telah terangsang.

Menurutnya, dia tidak dapat mengingati jumlah sebenar upah yang diterimanya walaupun menerima wang kertas £50 (RM247.13) daripada Saud.

Silva berkata, dia bekerja sebagai teman sosial bagi mendapatkan wang semasa bercuti di London.

Pada pembukaan perbicaraan Selasa lalu, pihak pendakwa raya menuduh Saud, 34, membunuh Bandar, 32, dalam satu serangan yang mempunyai elemen seks.

Saud merupakan cucu pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah II. Perbicaraan bersambung. - Agensi Kosmo

Wednesday, October 6, 2010

Askar Israel menari di sekeliling tahanan wanita


BAITULMUQADDIS - Satu rakaman video yang menunjukkan seorang askar menari di sekeliling seorang tahanan wanita yang ditutup matanya telah mencetuskan kemarahan masyarakat Palestin semalam.

Klip itu mendapat perhatian selepas ditayangkan di sebuah televisyen swasta Israel, Channel 10 lewat malam kelmarin.

Ia menunjukkan seorang askar menari mengikut irama sebuah lagu Arab di sekeliling tahanan wanita tersebut.

Imej itu boleh dilihat menerusi laman YouTube.

Mangsa yang memakai tudung itu menghadap ke arah dinding dan matanya ditutup dengan menggunakan kain putih.

Wanita itu dilihat mengungkapkan perkataan Alllahuakbar berulang kali.

Berdurasi hanya lebih seminit, video tersebut pantas dikecam oleh pihak berkuasa Palestin sebagai sangat menghina maruah wanita.

"Ini adalah gambaran jijik tentang mentaliti sakit penceroboh. Ini bukan insiden terpencil," tegas satu kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad.

Sebagai maklum balas, tentera Israel mengutuk klip itu dan menyatakan polis tentera telah membuka satu siasatan atas insiden yang disifatkannya sebagai terpencil. -AFP..KOSMO

Tuesday, October 5, 2010

Harga rokok naik 63 sen.


KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menaikkan kadar duti eksais bagi rokok sebanyak tiga sen sebatang, berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Dengan kenaikan kadar duti eksais itu, amaun kenaikan cukai bagi sekotak rokok 20 batang ialah kira-kira 63 sen, iaitu 60 sen daripada duti eksais dan tiga sen daripada cukai jualan, demikian menurut satu kenyataan daripada Kementerian Kewangan di sini semalam.

Kenyataan itu mengesahkan laporan sebelum ini tentang kenaikan cukai itu. Sebelum ini, kadar duti eksais bagi rokok ialah 19 sen dan 20 peratus sebatang.

Kenyataan yang sama berkata, kenaikan itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Melalui komitmen itu, kaedah percukaian dan kawalan harga merupakan langkah penting dan berkesan dalam mengawal penularan gejala merokok, terutama di kalangan remaja.

Monday, October 4, 2010

Masjid futuristik dekat tapak serangan pengganas. NY Trade Centre


LAKARAN artis yang dikeluar oleh firma SOMA Architects pada Jumaat lalu menunjukkan ruang dalaman pusat Islam yang bakal dibina di New York.

NEW YORK - Lakaran artis menunjukkan sebuah pusat Islam termasuk masjid yang dirancang dibina dekat lokasi runtuhan bangunan World Trade Centre (WTC) di sini mempunyai seni bina futuristik.

"Saya tidak berfikir bahawa selepas benda ini (pusat Islam itu) siap dibina, akan terdapat pihak yang mengadakan piket," kata pemaju projek berkenaan, Sharif El-Gamal kepada agensi berita AP.

Sharif berkata, majlis pecah tanah untuk masjid itu mungkin diadakan dua atau tiga tahun lagi atau kemungkinan dalam tempoh terdekat.

Empat daripada 16 tingkat itu akan dipenuhi dengan pusat renang, sukan dan kecergasan.

Bangunan itu turut dilengkapi dengan tingkat untuk pusat penjagaan kanak-kanak dan taman permainan.

Kebanyakan ruang dalam bangunan itu akan dijadikan restoran, sekolah memasak, studio artis, ruang pameran dan auditorium untuk majlis kebudayaan.

Menurut Sharif, idea kemudahan itu adalah bagi menarik kehadiran penduduk tempatan yang mencari tempat untuk bekerja.

Beliau menyatakan, idea bangunan itu juga adalah untuk menjadikan ia sebagai tempat pasangan suami isteri Muslim menghabiskan masa bersama pada waktu malam.

Masjid di dalam bangunan itu akan terletak di ruang bawah tanah.

Tingkat 12 bangunan itu akan dijadikan tempat memperingati serangan pengganas yang memusnahkan WTC pada 11 September 2001 sehingga mengakibatkan 3,000 orang terbunuh.

Tempat memperingati serangan itu dibuka untuk semua penganut agama selain Islam.

Pusat itu menentapkan sasaran untuk memperoleh AS$27 juta (RM83.36 juta) melalui rayuan sumbangan pelbagai pihak.

Namun, sebanyak AS$120 juta (RM370 juta) hingga AS$140 juta (RM432.25 juta) diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan yang akan diperoleh dengan mengeluarkan bon dalam perbankan Islam.

Pembinaan kompleks itu sebelum ini mendapat bantahan daripada beberapa pihak yang menganggap pembinaannya tidak sesuai dibina dekat dengan runtuhan WTC kerana ia dipercayai dimusnahkan oleh penganas-pengganas beragama Islam. - Agensi...KOSMO

Saturday, October 2, 2010

Polis maut kejar pelesit rempit


Anggota polis mengangkat Khairuzaini yang maut kemalangan
di Jalan Dato Senu, Kuala Lumpur malam kelmarin.

KUALA LUMPUR – Semalam ialah hari yang paling bermakna buat Cif Inspektor Mohd. Khairuzaini Mohd. Zain kerana pada hari berkenaan genap sembilan tahun dia berkhidmat sebagai pegawai polis selepas menyertai pasukan itu pada 1 Oktober 2001.

Bagaimanapun, Khairuzaini, 31, tidak sempat meraikannya apabila dia maut akibat terlibat dalam kemalangan ketika mengejar seorang pelesit rempit yang melakukan aksi bahaya di Jalan Dato Senu di sini kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, mangsa bersama 10 anggota dari Balai Polis Trafik Jalan Bandar di sini membuat rondaan di kawasan lumba haram dengan menunggang motosikal seorang diri.

Ketika melakukan rondaan, Khairuzaini yang berpakaian preman ternampak seorang lelaki menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya.

Dia kemudian dikatakan berpecah daripada 10 anggota trafik lain dan bertindak mengejar pelesit rempit terbabit.

“Mangsa tercampak selepas motosikal Yamaha 125z yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta yang keluar dari satu simpang di kawasan tersebut,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam kelmarin.
Sumber KOSMO..

Friday, October 1, 2010

Helikopter Apache Singapura terhempas


BEBERAPA anggota tentera memeriksa sebuah helikopter Apache milik Tentera Udara Singapura yang terhempas di sebuah padang di republik itu semalam.

SINGAPURA - Pemerintah Singapura mengesahkan sebuah helikopter Apache milik tentera negara itu terhempas ketika membuat pendaratan cemas di sebuah padang dekat sebuah sekolah rendah semalam.

Kementerian Pertahanan Singapura menyatakan, juruterbang helikopter Apache AH-64 mendarat cemas selepas ia mengalami masalah enjin.

Seorang jurugambar agensi berita Associated Press yang berada di kawasan itu melihat helikopter tersebut putus dua di bahagian ekor.

Menurut kementerian itu, satu siasatan akan dilakukan berhubung insiden tersebut. - AP..KOSMO