Penang Route 6

Penang Route 6 Shop

klik kan ye

Thursday, August 5, 2010

Penagih Di Kedah Meningkat


ALOR SETAR - Kadar penagih dadah di Kedah bagi enam bulan tahun ini menunjukkan peningkatan kepada 26,330 berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 20,426 penagih.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata, namun daripada jumlah keseluruhan itu daerah Kota Setar dan Pokok Sena merupakan kedua tertinggi di Kedah.

Menurutnya, enam bulan awal tahun ini sejumlah 4,682 penagih dicatatkan bagi dua daerah itu berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 4,726.

“Jumlah penagih dadah pada tahun ini berada di tahap yang membimbangkan dan Kedah juga termasuk dalam senarai negeri yang diberi tumpuan untuk menurunkan kadar penagih dadah.

“Trend peningkatan kadar penagih dadah ini juga berlaku kepada golongan berusia di lingkungan 13 hingga 29 tahun iaitu dalam kalangan golongan yang produktif,” katanya.

Mohammad Nazer berkata, ketagihan yang berlaku dalam kalangan golongan yang produktif itu berpunca daripada pengaruh rakan yang merupakan faktor utama mereka menagih dadah.

Menurutnya, selain daripada faktor pengaruh rakan juga, keseronokan dan perasaan ingin mencuba merupakan faktor yang menjadi pendorong kepada penagih untuk mengambil dadah.

Menurutnya, AADK kini giat menjalankan operasi menyelamat bagi menjejaki penagih yang tidak menghadirkan diri ke sesi kaunseling dan motivasi bagi menurunkan jumlah penagih dadah dan sekali gus mengurangkan jumlah jenayah jalanan.

“Kita akan menjejaki penagih yang gagal menghadiri sesi kaunseling dengan menghubungi dan menghantar surat. Namun, jika mereka gagal untuk hadirkan diri barulah kita akan jejaki mereka.

“Langkah yang dilaksanakan AADK terhadap penagih dadah ini terutama sekali yang membabitkan golongan yang berhenti menagih adalah berikutan kita tidak mahu mereka terjebak semula dengan penagihan dadah,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Nazer berkata, trend pengambilan dadah sentetik seperti pil juga semakin berleluasa berbanding pengambilan dadah tradisional seperti daun ganja yang sering digunakan penagih sebelum ini.

Menurutnya, selain pengambilan dadah sentetik, aktiviti penagih dadah yang melibatkan penggunaan daun ketum juga berada di tahap yang membimbangkan apabila kandungannya turut dicampur dengan bahan kimia dan racun tikus.

Mohammad Nazer berkata, ibu bapa kini perlu lebih serius dalam mengawasi anak mereka agar tidak terjebak dengan kegiatan yang boleh merosakkan diri ini termasuklah kegiatan menghidu gam.

No comments: